Beladin Perkasa Tenunan Songket Sebagai Warisan dan Sumber Ekonomi
BELADIN: Usaha memperkukuh kemahiran tenunan songket penting dalam mengangkat martabat seni warisan tempatan, di samping membuka peluang kepada masyarakat menceburi bidang kraf dan keusahawanan.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, meskipun jumlah peserta kursus tidak ramai, kemahiran tersebut berpotensi memberikan impak kepada masyarakat kerana tenunan songket mempunyai nilai seni, budaya dan ekonomi yang tinggi.
Katanya, usaha memperkembangkan industri kraf tempatan perlu diteruskan melalui latihan kemahiran, penghasilan produk baharu serta penyediaan kemudahan yang dapat menyokong kegiatan kraf di kawasan Beting Maro.
“Warisan songket ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh dikembangkan kepada pelbagai jenis produk. Kita mahu melihat kemahiran ini terus berkembang sehingga mampu menghasilkan produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Tenunan Songket Zon Beladin 2026 di Pusat Ekonomi Kampung Tambak, Pusa di sini pada Selasa.
Menurut beliau, perancangan pembinaan sebuah pusat komuniti di Kampung Beladin dengan peruntukan RM8 juta bagi menyokong pembangunan komuniti setempat.
Katanya, kepelbagaian hasil kraftangan dan seni budaya Sarawak boleh diketengahkan sebagai produk beridentiti tempatan, sekali gus mewujudkan peluang pendapatan melalui kemahiran dan kreativiti masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sri Gedong, Ramtiniwaiti Ramli berkata, seni tenunan songket terus diperkasa di Zon Beladin menerusi latihan kemahiran kepada masyarakat setempat bagi memastikan warisan tradisional Sarawak kekal diwarisi, selain membuka peluang baharu dalam bidang kraf dan keusahawanan.
Beliau berkata, Kursus Asas Tenunan Songket yang dilaksanakan selama enam bulan memberi pendedahan dan latihan kepada peserta untuk menguasai kemahiran asas dalam menghasilkan tenunan songket.
Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat menunjukkan seni warisan berkenaan masih mempunyai potensi untuk dikembangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Warisan seni tenunan songket ini perlu dipelajari dan diwarisi supaya keasliannya terus terpelihara serta dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Beladin Zakaria Mos, Penghulu Zon Pusa Bujang Beni serta Penghulu Kampung Semarang Spinang dan Batang Maro Musa Zin.- EDISI UKAS