KUCHING: Sarawak terus mengekalkan 62 peratus litupan hutan daripada keseluruhan keluasan negeri kira-kira 12.4 juta hektar, sekali gus membuktikan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan ekonomi mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan dasar tanah dan pengurusan hutan mampan yang memastikan khazanah alam semula jadi negeri terus terpelihara.
“Disebabkan dasar tanah dan dasar pengurusan hutan mampan kita, kita mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 62 peratus daripada jumlah keluasan tanah kita masih di bawah litupan hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 (Environmental Education Conference 2026) pada Selasa.
Tambah beliau, komitmen Sarawak itu turut menyumbang kepada usaha Malaysia mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara.
Katanya, Sarawak turut menetapkan sasaran mengekalkan enam juta hektar estet hutan kekal dan satu juta hektar kawasan perlindungan sepenuhnya bagi memelihara biodiversiti, habitat penting serta kawasan tadahan air.
“Komitmen kita terhadap pemuliharaan adalah sama pentingnya dengan pembangunan ekonomi.
“Kita perlu memastikan kemajuan ekonomi berterusan tanpa menjejaskan warisan semula jadi yang akan diwarisi oleh generasi masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, agenda kelestarian alam sekitar terus diperkukuh menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, Sarawak turut mempergiat peralihan kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui dengan memanfaatkan sumber hidro, solar serta biotenaga.
Peralihan itu bukan sahaja penting dalam menangani perubahan iklim, malah berpotensi membuka peluang pelaburan baharu, merancakkan pembangunan industri serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan alam sekitar memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan khazanah semula jadi.
Sehubungan itu, golongan muda perlu diberi lebih banyak peluang menyertai projek pemuliharaan, inovasi dan inisiatif komuniti bagi menterjemahkan pengetahuan alam sekitar kepada tindakan nyata.
“Golongan muda di sekolah kita hari ini akan menjadi pemimpin, usahawan, saintis, jurutera dan pembuat dasar masa depan.
“Keputusan mereka akan menentukan bagaimana tanah, air, tenaga dan sumber semula jadi kita diuruskan pada tahun-tahun akan datang,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran alam sekitar, khususnya isu jerebu rentas sempadan yang turut memberi kesan kepada Sarawak.
Katanya, kerjasama antara negara amat penting bagi merangka pendekatan dan strategi bersama yang lebih berkesan dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras projek agensi pembangunan wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS