RM139,665 Peruntukan UNIFOR Nail Taraf Sistem Elektrik SK St. Columba Miri
MIRI: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM139,665 melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu menaik taraf kemudahan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) St Columba Miri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan kerja pendawaian semula blok pejabat pentadbiran dan bilik guru serta pemasangan meter elektrik tambahan.
Menurut beliau, penambahbaikan berkenaan penting bagi memastikan kemudahan elektrik di sekolah memenuhi keperluan penggunaan sebenar, selain menyokong kelancaran urusan pentadbiran dan tugas harian para guru.
Beliau berkata kemudahan pendidikan yang lengkap amat penting bagi memastikan operasi harian sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala sistem elektrik yang selamat dan stabil mempunyai kaitan langsung dengan persekitaran pembelajaran, pekerjaan warga sekolah serta keselamatan di kawasan sekolah.
“Oleh itu, bantuan melalui peruntukan UNIFOR bagi menambah baik prasarana sekolah dapat membantu mewujudkan persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika menyerahkan peruntukan UNIFOR kepada Guru Besar SK St Columba Miri, Francis Awos, di sekolah berkenaan pada Selasa.
Menurutnya, melalui mekanisme bantuan yang bersesuaian, kerajaan membantu sekolah dan institusi agama menambah baik kemudahan infrastruktur, sekali gus menggalakkan keharmonian masyarakat dan pembangunan yang inklusif.
Melalui penambahbaikan kemudahan sekolah dan institusi berkaitan, kerajaan terus berusaha menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.-EDISI UKAS