RTP dan Bantuan Pendidikan Perkasa Pembangunan Komuniti Sekapan Piit
BELAGA: Pelaksanaan empat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan bantuan awal pendidikan secara one-off memberi manfaat kepada komuniti Rumah Sekapan Piit, Belaga di sini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, pelaksanaan projek pembangunan dan bantuan pendidikan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta memperluas akses pendidikan kepada anak-anak tempatan.
“Pada hari ini, kita berhimpun dalam satu majlis yang sangat murni nilainya, iaitu majlis yang berkaitan dengan pendidikan, yang amat dekat di hati kita, di samping meraikan pelaksanaan beberapa projek yang bertujuan meningkatkan taraf kehidupan komuniti Sekapan Piit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek RTP Rumah Sekapan Piit dan Simbolik Penyampaian Bantuan Awal Pendidikan one-off bagi kawasan Belaga di Uma Sekapan Piit, di sini pada Isnin.
Empat projek RTP yang dirasmikan melibatkan pembinaan baharu jalan, sistem perparitan, benteng penahanan hakisan tanah di hadapan rumah serta gelanggang futsal.
Menurut beliau, pendidikan merupakan antara asas penting dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk mencapai masa depan yang lebih baik.
Katanya, Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri serta bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi lain.
Dalam pada itu, beliau berkata Jawatankuasa Pendidikan Belaga turut mengambil inisiatif menyediakan bantuan awal pendidikan secara one-off kepada pelajar tempatan yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
“Jangan lepaskan peluang yang diberikan. Peluang ini merupakan satu langkah penting untuk membuka laluan kepada masa depan anak-anak kita yang lebih cerah,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar dan ibu bapa meneliti bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat, kemampuan, pengiktirafan program serta prospek kerjaya sebelum membuat keputusan.
Menyentuh pelaksanaan RTP, Datuk Liwan berkata sebanyak 12 projek daripada peruntukan wakil rakyat telah disalurkan kepada Rh. Sekapan Piit sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat dalam memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan guru terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti dalam suasana pembelajaran yang baik dan kondusif.
“Dalam hati setiap guru, pastinya ada harapan untuk melihat anak-anak murid mereka berjaya. Malah, kejayaan seorang anak murid yang mampu mencapai tahap lebih tinggi daripada gurunya sendiri merupakan satu kebanggaan yang tidak ternilai,” katanya.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyampaian bantuan insentif pendidikan daripada Jawatankuasa Pendidikan Belaga kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Turut hadir ADO Zain Rocky yang mewakili Pegawai Daerah Belaga, Pengetua SMK Belaga Andrew Bang, Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Penghulu Nicholas Mering Kulleh, Penghulu Abu Talip dan Ketua Kaum Rh. Sekapan Piit Lenjau Sirek.- EDISI UKAS