71 Penasihat Kewangan Diiktiraf, Perkasa Profesionalisme Industri Insurans dan Takaful
MIRI: Seramai 71 penasihat insurans hayat dan takaful keluarga menerima pengiktirafan menerusi 88 anugerah AKARD dan Star Excellence pada Malam Pengiktirafan Anugerah AKARD NAMLIFA Miri 2026 yang berlangsung di Imperial Hotel Miri, pada Isnin.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pengiktirafan berkenaan merangkumi 77 anugerah AKARD dan 11 anugerah Star Excellence sebagai penghargaan terhadap komitmen, dedikasi serta pencapaian para penasihat kewangan terbabit.
Menurutnya, peranan penasihat insurans hayat dan takaful keluarga bukan sekadar menawarkan polisi, sebaliknya membantu keluarga mendapatkan perlindungan kewangan yang bersesuaian dalam menghadapi pelbagai cabaran tidak dijangka.
“Perlindungan kewangan yang sesuai dapat membantu keluarga mengurus beban kewangan ketika berdepan situasi seperti penyakit, kemalangan dan kehilangan sumber pendapatan, sekali gus memberikan ketenangan fikiran dan keyakinan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan menyediakan lebih banyak peluang pembangunan profesional kepada penasihat kewangan Bumiputera menerusi sokongan berterusan kepada NAMLIFA Cawangan Miri.
Dato Sri Lee turut menyambut baik perancangan NAMLIFA Cawangan Miri untuk menganjurkan program Fellow Chartered Financial Practitioner (FChFP) pada 2027.
Katanya, program berkenaan merupakan langkah bermakna dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan tahap profesionalisme penasihat kewangan tempatan.
“Program seperti ini dapat membantu penasihat kewangan memperluas pengetahuan dalam pengurusan kewangan, perancangan pendidikan anak-anak, persaraan serta perlindungan aset keluarga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha NAMLIFA Cawangan Miri yang turut melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk kempen derma darah, program kesedaran kesihatan dan kegiatan kebajikan.
Menurutnya, kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan pendapatan atau jumlah anugerah semata-mata, sebaliknya turut dinilai melalui sumbangan kepada masyarakat serta kehidupan insan yang dibantu.
Keahlian seumur hidup AKARD diberikan kepada individu yang berjaya melayakkan diri menerima anugerah AKARD sebanyak 10 kali, sekali gus mencerminkan disiplin, usaha dan komitmen berterusan dalam bidang berkenaan.-EDISI UKAS