Sarawak Promosi Peluang Pelaburan Industri Maju Di Invest Malaysia Day Singapura
SINGAPURA: Sarawak terus mengetengahkan peluang pelaburan dalam industri maju dan berteknologi tinggi menerusi penyertaan dalam Invest Malaysia Day 2026 yang diadakan di Grand Hyatt Singapore, baru-baru ini.
Program itu menjadi platform bagi Sarawak mempromosikan potensi pelaburan negeri dalam sektor reka bentuk semikonduktor, pembuatan maju, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tenaga bersih kepada pelabur serta rakan industri antarabangsa.
Penyertaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) bersama SMD Semiconductor turut membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama dengan pelabur, penyedia teknologi dan rakan industri dalam bidang berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Dato Shariman Jamil menerusi sesi perkongsian bertajuk Beyond Energy: Sarawak’s Next Frontier in Semiconductors and High Value Industries, mengetengahkan beberapa bidang berpotensi termasuk infrastruktur AI dan pusat data, sistem tenaga boleh diperbaharui, meter pintar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), inverter serta transformer keadaan pepejal.
Beliau turut menggariskan peluang sepanjang rantaian nilai industri semikonduktor, daripada reka bentuk cip dan pembangunan teknologi kepada integrasi sistem, pengkomersialan serta peluasan pasaran ASEAN.
Dalam sesi berkenaan, kemampuan Sarawak dalam bidang semikonduktor turut diketengahkan menerusi keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa gallium nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan oleh SMD Semiconductor.
Sementara itu, STATOS melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chew Chang Guan turut berkongsi tawaran pelaburan Sarawak kepada syarikat berpangkalan di Singapura serta rakan industri global.
Usaha itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan antara Sarawak dan Singapura, di samping menyokong usaha menarik pelaburan, menggalakkan kerjasama teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Penyertaan Sarawak dalam Invest Malaysia Day 2026 turut memperkukuh komitmen negeri terhadap transformasi ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi industri maju yang semakin berkembang di rantau ini.-EDISI UKAS