TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi BHEUU
KUCHING:Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini,pada Selasa.
Delegasi diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) BHEUU, Dato’ Dr. Punitha Silivarajoo, bertujuan membentangkan perkembangan semasa reformasi perundangan negara, khususnya pelaksanaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 (Akta 847) serta perkara berkaitan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.
Perbincangan turut menyentuh isu moratorium pelaksanaan hukuman mati, kedudukan Malaysia sebagai negara yang tidak melaksanakan hukuman mati secara amalan (de facto abolitionist), pilihan dasar kerajaan serta hala tuju semakan perundangan berkaitan.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Wan Juanidi berkongsi pandangan mengenai kepentingan memastikan setiap urusan berkaitan semakan hukuman dan pengampunan dilaksanakan secara teliti, adil serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Beliau turut menekankan bahawa keputusan berkaitan hukuman dan pengampunan membawa tanggungjawab besar serta memerlukan pertimbangan menyeluruh, berhemah dan mematuhi proses perundangan yang ditetapkan, termasuk menghormati peranan serta bidang kuasa Lembaga Pengampunan selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan yang berkuat kuasa.
Selain itu, Beliau turut berpandangan bahawa undang-undang negara perlu dikaji dan disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan kerangka perundangan kekal relevan serta berkesan, di samping mengekalkan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
Dalam pasa itu, Tun Pehin Sri Wan Junaidi turut menyatakan sokongan terhadap usaha Jabatan Penjara Malaysia memperluas peluang pendidikan kepada penghuni penjara, termasuk menyediakan kemudahan bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah.
Menurut beliau, pendidikan dan pembangunan kemahiran merupakan antara instrumen penting dalam proses pemulihan penghuni penjara, sekali gus membantu mereka meningkatkan pengetahuan, membina keyakinan diri serta mempersiapkan diri untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik selepas tamat tempoh hukuman.
Hadir sama ialah Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan BHEUU, Kevin Geh Kien Meng; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan, Wan Nur Izzati Wan Yusoff dan Sharon Silveraj; Penolong Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan, Nur Shahkierin Abd Manan; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, TKJP Hafidz Othman; Timbalan Ketua Unit Penahanan dan Pelaksanaan Hukuman, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, TPP Rosli Payiman; Timbalan Pengarah Unit Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak,Norlela Jarnie; serta Pegawai Tadbir Unit Pentadbiran, Ajon Meredan.-EDISI UKAS