FTES Realisasikan Impian Seorang Ibu, Anak Kini Bergelar Mahasiswa
SIBU: Impian seorang ibu untuk melihat anak sulungnya menjejakkan kaki ke menara gading akhirnya menjadi kenyataan apabila Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuka peluang kepada anaknya melanjutkan pengajian ke universiti tanpa perlu membuat pinjaman pendidikan.
Bagi Agnes Ting Mei Ing, peluang yang dinikmati anak sulungnya, Eminem Tiong Kung, 20, bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarga, malah membawa kelegaan setelah sekian lama memikirkan kos pengajian tinggi yang perlu ditanggung.
Agnes berkata, seperti ibu bapa lain, beliau mahu melihat anak-anaknya memperoleh pendidikan terbaik dan membina masa depan lebih cerah, namun kekangan kewangan menjadi antara kebimbangan utama keluarganya.
“Terima kasih Kerajaan Sarawak kerana memberi anak-anak kami harapan untuk masa depan yang lebih cerah dan mengurangkan beban kewangan yang perlu difikirkan oleh ibu bapa seperti kami,” katanya ketika ditemui UKAS.
Anaknya, Eminem, kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Kepujian) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) selepas permohonannya di bawah FTES diluluskan sebaik menamatkan pengajian Tingkatan Enam.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, peluang berkenaan membolehkannya meneruskan pengajian tanpa perlu bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sekali gus mengurangkan tekanan kewangan terhadap ibu bapanya.
Di sebalik kejayaannya melangkah ke universiti, tersimpan kisah pengorbanan kedua-dua ibu bapanya yang sanggup meninggalkan kerjaya masing-masing dalam bidang perakaunan dan kejuruteraan untuk mengusahakan gerai menjual kampua di sebuah restoran sejak tiga tahun lalu.
Menyedari jerih perih ibu bapanya mencari rezeki, Eminem turut membantu menguruskan perniagaan keluarga pada waktu lapang sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
“Ibu bapa saya sentiasa bekerja keras demi menanggung kami sekeluarga. Sebelum ini, mereka sangat bimbang jika tidak mampu menanggung kos pengajian saya dan pernah mencadangkan agar saya memohon pinjaman PTPTN,” katanya.
Menurut Eminem, bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak itu bukan sahaja membolehkannya menumpukan perhatian terhadap pengajian, malah memberikan ketenangan kepada keluarganya yang sebelum ini memikirkan cara membiayai yuran universiti.
Justeru, beliau berazam untuk membalas pengorbanan ibu bapanya dengan mencapai kecemerlangan akademik, membina kerjaya yang baik serta membantu meningkatkan taraf hidup keluarga pada masa hadapan.
“Saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membina masa depan, menjadi penyara keluarga yang baik dan seorang pemimpin,” ujarnya.
Bagi keluarga ini, FTES bukan sekadar bantuan pembiayaan pendidikan, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan pengorbanan ibu bapa dengan impian anak-anak untuk mengubah masa depan keluarga melalui pendidikan tinggi.-EDISI UKAS