Pendidikan Alam Sekitar Bentuk Generasi Prihatin Kelestarian
KUCHING: Pendidikan alam sekitar memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang memahami hubungan rapat antara alam sekitar dengan kehidupan masyarakat serta kepentingan memelihara khazanah alam untuk masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengalaman masyarakat dalam memahami tanah, sungai dan perubahan musim wajar dimanfaatkan dalam pendidikan alam sekitar bagi menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna.
“Pendidikan alam sekitar membantu golongan muda memahami hubungan ini dan melihat bagaimana tindakan mereka sendiri boleh membawa perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada majlis makan malam sempena Environmental Education Conference (EEC) 2026 di sini, pada Selasa.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu lagi, sungai, hutan dan kawasan pesisir Sarawak merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat kerana menyokong sumber kehidupan, menyimpan memori keluarga serta membentuk tradisi yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Katanya, pengetahuan masyarakat yang terbina daripada pengalaman generasi demi generasi dalam memerhati tanah, sungai dan perubahan musim juga mempunyai nilai penting untuk diterapkan dalam pendidikan alam sekitar.
“Dengan membawa pengalaman ini ke dalam pendidikan alam sekitar, kita dapat menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan membantu generasi akan datang menjaga tempat yang mereka anggap sebagai rumah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata persidangan berkenaan menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai minat bersama dalam membantu golongan muda memahami dan mengambil berat terhadap alam sekitar.
Menurutnya, perkongsian pengalaman serta perbincangan mengenai cabaran bersama dapat membantu para pendidik dan pengamal pendidikan alam sekitar mempelajari pendekatan baharu serta memperkukuh usaha masing-masing.
Beliau turut menghargai peranan guru dan pendidik dalam membimbing golongan muda untuk bertanya, memahami dunia di sekeliling mereka serta menyedari bahawa tindakan yang dilakukan mampu membawa perubahan.
Pada masa sama, beliau berkata golongan muda juga mempunyai perspektif dan idea yang boleh membantu masyarakat melihat isu alam sekitar melalui pendekatan baharu.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para peserta supaya meneruskan hubungan dan perkongsian selepas persidangan, termasuk bertukar pengalaman serta bahan pengajaran yang boleh dilaksanakan di sekolah, institusi dan komuniti masing-masing.
Beliau juga berharap EEC 2026 menjadi permulaan kepada kerjasama dan persahabatan berterusan antara para peserta dalam memperkukuh pendidikan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam Edward Vrkić, Pengawal Kualiti Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur EEC 2026 Datu Jack Liam serta delegasi dan penceramah persidangan. - EDISI UKAS