Masyarakat Perlu Kritis, Bertanggungjawab Tangani Ancaman Maklumat Palsu
MIRI: Keupayaan menilai kesahihan maklumat digital perlu diperkukuh bagi membendung penyebaran berita palsu, penipuan dalam talian dan kandungan manipulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, masyarakat bukan sahaja perlu mahir menggunakan teknologi, malah harus mempunyai pemikiran kritis untuk membezakan fakta daripada pendapat serta mengenal pasti maklumat yang tidak sahih.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Kr Kelvin Chia pada majlis perasmian Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026, di Pustaka Negeri Sarawak, Miri, pada Selasa.
Menurutnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut menuntut pengguna lebih berhati-hati, khususnya terhadap kandungan manipulasi seperti deepfake yang berpotensi memperdaya orang ramai sekiranya tidak disemak dengan teliti.
Sehubungan itu katanya, pendekatan “Klik, Tapis, Kongsi” diketengahkan bagi menggalakkan masyarakat menyemak keselamatan pautan, menilai kesahihan maklumat dan mempertimbangkan kesan sebelum berkongsi sesuatu kandungan.
Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 berlangsung dari 24 hingga 31 Oktober dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak dan UNESCO Jakarta, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengakses, menilai, menggunakan dan berkongsi maklumat secara kritis, beretika serta bertanggungjawab.
Bertemakan “We All Play A Part: Media and Information Literacy for the People”, program itu menekankan bahawa pembentukan masyarakat celik media dan maklumat memerlukan penglibatan bersama individu, institusi pendidikan, pengamal media, agensi kerajaan dan komuniti.
Antara pengisian utama ialah forum “Klik, Tapis, Kongsi: Bersama Membina Komuniti Miri Celik Media dan Maklumat”, selain webinar, bengkel dan sesi perkongsian ilmu yang menyasarkan pelajar, pendidik, belia, penjawat awam, ibu bapa serta masyarakat umum.
Usaha itu turut memperkukuh peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai pusat pembelajaran komuniti dalam memperluas akses kepada sumber maklumat berkualiti dan memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.-EDISI UKAS