Sarawak Perkukuh Pembangunan Bandar Berteraskan Nilai Tempatan
KUCHING: Pembangunan bandar di Sarawak perlu dirancang secara strategik dengan mengimbangi kemajuan ekonomi, penggunaan teknologi, kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan budaya dan warisan tempatan bagi memastikan pembangunan yang memenuhi keperluan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Hui Kian berkata, Sarawak mempunyai peluang untuk membangunkan bandar yang memenuhi piawaian antarabangsa tanpa mengetepikan nilai, budaya dan identiti tempatan.
Menurut beliau, pembangunan bandar tidak seharusnya bergantung sepenuhnya pada pendekatan yang digunakan di luar negara, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan, keperluan dan keunikan Sarawak.
“Kita menyasarkan standard antarabangsa, namun itu tidak bermakna semua pendekatan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa semestinya sesuai untuk kita,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Sarawak Urban Forum 2.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, pembangunan bandar yang dirancang dengan baik perlu mengambil kira kesejahteraan penduduk, termasuk aspek keselesaan hidup, kemakmuran ekonomi dan penggunaan teknologi bagi menyokong keperluan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan bandar, namun pelaksanaannya perlu seiring dengan usaha memelihara alam sekitar serta warisan dan budaya tempatan.
Tegasnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan bandar di Sarawak bukan sahaja berorientasikan kemodenan, malah mencerminkan identiti negeri dan memenuhi keperluan penduduk dalam jangka panjang.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam merancang dan melaksanakan pembangunan bandar bagi memastikan setiap inisiatif dapat disesuaikan dengan keperluan setempat.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Elizabeth Loh serta Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.-EDISI UKAS