PIMU Perkukuh Integriti Mahasiswa Sarawak, Bentuk Pelapis Kepimpinan Beramanah
KOTA KINABALU: Pendedahan terhadap integriti, tadbir urus dan antirasuah terus diperkukuh dalam kalangan mahasiswa Sarawak yang menuntut di luar negeri menerusi Program Pemantapan Integriti Mahasiswa Universiti (PIMU) 2026 Zon Sabah.
Program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak itu memberi penekanan kepada pembentukan jati diri mahasiswa yang beretika, beramanah dan bertanggungjawab sebagai persediaan menjadi pelapis kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Program itu berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober di The Klagan Regency 1Borneo, Kota Kinabalu, dengan kerjasama tiga institusi pengajian tinggi, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian merangkumi ceramah, perkongsian ilmu, dialog interaktif dan aktiviti berkumpulan yang memfokuskan aspek integriti, kepimpinan, disiplin serta pengurusan masa dan emosi.
Pengisian berkenaan turut memberi ruang kepada mahasiswa memahami kepentingan mengamalkan nilai kejujuran dan akauntabiliti dalam kehidupan seharian, selain menyedari peranan individu dalam membentuk masyarakat yang beretika.
Majlis perasmian program pada 24 Oktober disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya.
Penganjuran PIMU merupakan inisiatif tahunan yang bermula pada 2022 dan telah diperluas ke beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang, Johor, Perlis dan Kelantan sebelum diteruskan di Sabah pada tahun ini.
Sepanjang lima tahun penganjurannya, program itu telah melibatkan kira-kira 1,100 mahasiswa daripada 11 institusi pengajian tinggi awam yang merupakan anak Sarawak dan melanjutkan pengajian di luar negeri.
Bertemakan “Mahasiswa Berintegriti, Peneraju Kepimpinan Sarawak”, PIMU diharap dapat melahirkan generasi muda yang berprinsip, berdaya saing dan berwibawa dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak serta memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik.-EDISI UKAS