SADONG JAYA: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak terbukti memberi kelegaan besar kepada ibu bapa, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan serta membuka akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Sarawak tanpa menjejaskan simpanan keluarga.
Bagi seorang petani tempatan dari Kampung Sadong Jaya, Batika Lariwoo, 51, inisiatif berkenaan amat bermakna buat keluarganya dalam menampung perbelanjaan tiga daripada empat orang anaknya yang kini sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Katanya, sebelum adanya kewujudan dasar ini, isu kewangan sentiasa menjadi cabaran utama buat ibu bapa untuk memastikan anak-anak dapat melangkah ke menara gading.
“Sebagai ibu bapa, persiapan awal dari segi simpanan memang perlu disediakan kerana kita sentiasa mempunyai impian melihat anak-anak menggenggam segulung ijazah.
“Namun, dengan adanya Skim FTES ini, kami berasa sangat beruntung dan lega kerana kos pengajian dibiayai oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang kini mengusahakan tanaman sawit, pisang tanduk serta penternakan kambing menambah, kenaikan kos sara hidup dan harga tiket penerbangan turut mendorongnya menggalakkan anak-anak memilih IPT di bawah milik Kerajaan Sarawak.
Pandangan sama turut dikongsi isterinya, Hanizul Spawi, 52, yang bertugas sebagai pembantu tadbir.
Menurut Hanizul, mereka sekeluarga pernah berdepan rasa bimbang apabila memikirkan perbelanjaan besar serta kos yuran pengajian tinggi anak kedua mereka yang pada mulanya menuntut di Semenanjung Malaysia dan akhirnya memilih untuk berpindah ke negeri asalnya.
“Tetapi apabila anak membuat keputusan untuk belajar di Sarawak dan kebetulan disokong oleh pelaksanaan FTES, rasa risau itu bertukar lega kerana semuanya dibiayai Kerajaan Negeri, selain turut menerima kemudahan lain seperti komputer riba secara percuma,” jelasnya.
Tambah Hanizul lagi, inisiatif ini bukan sahaja berfungsi sebagai suntikan moral buat pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian, malah menyumbang kepada usaha merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.
Beliau turut berharap agar skema sokongan seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi liputannya pada masa hadapan demi manfaat generasi muda Sarawak secara keseluruhan.
Sementara itu, penerima FTES, Najwa Fatiha menyifatkan inisiatif berkenaan amat membantu beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa perlu meragui status kewangan keluarga.
“Bagi kami yang datang daripada keluarga berpendapatan sederhana, isu kewangan memang menjadi pertimbangan utama sebelum menyambung pelajaran.”
“FTES bukan sahaja menampung kos pengajian malah menyediakan kemudahan tempat tinggal, sekali gus mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menanggung adik-beradik lain yang masih bersekolah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai anak Sarawak memanfaatkan pelbagai peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, khususnya menerusi Skim FTES, bagi merealisasikan cita-cita mereka. -EDISI UKAS