Kerajaan Sarawak Sokong Keperluan Operasi, Kemudahan Warga 3 Briged
KUCHING: Sokongan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan operasi dan pembangunan kemudahan Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) terus diperkukuh menerusi penyediaan peralatan pengawasan serta pelaksanaan projek infrastruktur bagi warga tentera di negeri ini.
Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Zulkininie Yunus berkata, sokongan tersebut penting dalam membantu pasukan melaksanakan tanggungjawab keselamatan, selain memastikan kebajikan dan kemudahan anggota di kem berada pada tahap yang baik.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah pembinaan tempat letak kenderaan di Masjid Salahuddin, Kem Penrissen, yang dijangka dilaksanakan selepas kelulusan pihak berkuasa negeri pada Januari 2027.
“Selain itu, pembinaan masjid baharu di 11 Rejimen Melayu Diraja (11 RMD), Semenggoh, bernilai kira-kira RM2.4 juta kini mencapai kemajuan 70 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai delegasi 3 Briged mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pertemuan itu memberi peluang kepada beliau memperkenalkan diri secara rasmi selepas mengambil alih tugas sebagai Panglima 3 Briged kira-kira dua bulan lalu, selain menerangkan peranan, pelaksanaan operasi dan keperluan pasukan berkenaan.
“Pada hari ini saya mengambil ruang dan peluang untuk memperkenalkan diri sebagai Panglima 3 Briged yang baharu serta memaklumkan kepada Premier berkenaan peranan, pelaksanaan operasi, peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Sarawak dan sokongan yang boleh diberikan kepada warga 3 Briged di Kem Penrissen,” katanya.
Tambahnya lagi, pertemuan itu turut menyentuh potensi penglibatan pasukan khas dalam program pelancongan negeri, khususnya aktiviti penjunaman yang pernah menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, cadangan itu boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam program pelancongan negeri pada masa akan datang, termasuk aktiviti yang berpotensi dilaksanakan di Sibu. -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Ezzah Syafiqah
Foto : Shahril Haqim