SERIAN: Usaha merapatkan jurang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara sekolah bandar dan luar bandar di Sarawak terus diperkukuh menerusi sumbangan 60 kit STEM mudah alih bernilai RM1.2 juta oleh PETRONAS.
Inisiatif itu membuka lebih banyak peluang kepada murid, khususnya di kawasan luar bandar dan sekolah yang mempunyai kemudahan terhad, untuk meneroka bidang sains melalui pembelajaran secara praktikal, interaktif dan berasaskan pengalaman.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Sarawak melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing bagi mendukung Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Dalam kita melangkah menuju aspirasi PCDS 2030, pembangunan Sarawak tidak hanya bergantung kepada infrastruktur, teknologi atau pertumbuhan ekonomi. Yang paling utama ialah pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Penyerahan Kit Sains Sarawak (KITSS) dan Kem Matematik 2026 di Borneo Empurau Farm & Resort, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, pendidikan STEM perlu melangkaui pencapaian peperiksaan dengan memberi penekanan kepada pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dalam kehidupan sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan kadar penyertaan murid Tingkatan Empat dalam aliran STEM di Sarawak mencapai 36.37 peratus pada 2026, berbanding sasaran melebihi 60 peratus di peringkat menengah atas menjelang 2030.
Katanya, pencapaian semasa menunjukkan perkembangan positif, namun usaha lebih menyeluruh diperlukan bagi meningkatkan minat dan penyertaan murid dalam bidang berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan memperkenalkan STEM sejak peringkat sekolah rendah supaya murid berpeluang mengenal pasti minat, bakat dan potensi masing-masing lebih awal.
Beliau berkata, penggunaan KITSS mampu membantu murid memahami konsep sains yang abstrak melalui eksperimen dan aktiviti pembelajaran secara langsung.
Setiap kit STEM mudah alih yang disumbangkan PETRONAS mengandungi 50 model sains dan peralatan pengajaran, termasuk model rangka manusia bersaiz sebenar, kit litar elektronik serta bahan pembelajaran interaktif.
Kesemua 60 kit berkenaan akan diselaraskan dan diagihkan oleh Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri.
Pengagihan akan mengambil kira kepadatan sekolah dan keperluan setempat, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar serta sekolah yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan pendidikan.
Inisiatif yang diterajui PAGS dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) itu dijangka memberi manfaat kepada ratusan sekolah di Sarawak.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, pembelajaran STEM secara praktikal mampu merangsang sifat ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan murid sejak usia muda.
“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai murid Sarawak untuk menceburi bidang berkaitan STEM dan menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, penyerahan simbolik 60 kit STEM bernilai RM1.2 juta disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS, Khairuddin Jaafar kepada Presiden PAGS, Mutalib Kasim.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Solomon Kudik, Ketua Bahagian Pendidikan Rendah MEITD, Donald Henry Nohed, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami dan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Bunsie Tunton.-Edisi UKAS