Penyertaan Anak Sarawak Dalam Askar Wataniah Perlu Dipertingkat
KUCHING: Penyertaan lebih ramai anak Sarawak dalam Rejimen Askar Wataniah perlu dipertingkat bagi memperkukuh kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penglibatan masyarakat dalam aspek keselamatan dan pertahanan.
Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged), Brigedier Jeneral Zulkininie Yunus berkata, tahap penyertaan rakyat Sarawak dalam Askar Wataniah masih rendah berbanding penglibatan mereka dalam angkatan tetap.
“Kalau kita buat perbandingan dengan negeri lain, kita masih agak rendah dan perlu mempertingkatkan kesedaran rakyat Sarawak, sama ada yang bekerja ataupun tidak bekerja, untuk turut serta berkhidmat dalam Rejimen Askar Wataniah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu.
Menurutnya, Sarawak mempunyai dua rejimen Askar Wataniah, iaitu Rejimen 511 di Kuching dan Rejimen 510 di Sibu yang menyediakan ruang kepada rakyat negeri ini untuk menyumbang dalam aspek pertahanan negara.
Katanya, penglibatan anak Sarawak dalam pasukan berkenaan bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan pertahanan, malah membentuk jaringan kerjasama antara pasukan keselamatan, kerajaan dan masyarakat.
“Saya yakin dengan penglibatan anak-anak watan Sarawak, kita akan dapat memperkukuhkan lagi sistem pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara pihak tentera, agensi kerajaan dan masyarakat penting dalam memastikan kedaulatan serta ketenteraman negara terus dipelihara.
Menurutnya, pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan dan masyarakat juga selari dengan konsep ‘Whole-of-Government’ dan ‘Whole-of-Society’ yang menekankan peranan bersama dalam memperkukuh keselamatan negara.
Dalam pada itu, Brigedier Jeneral Zulkininie berkata pihaknya akan terus memberi kesedaran mengenai peluang berkhidmat dalam Askar Wataniah kepada masyarakat Sarawak, khususnya golongan yang berminat untuk menyumbang kepada negara tanpa menyertai angkatan tetap. -EDISI UKAS