3 Briged Rampas Barangan Hampir RM1.7 Juta Dalam Operasi Kawalan Sempadan
KUCHING: Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) merekodkan rampasan barangan bernilai hampir RM1.7 juta setakat Oktober 2026 menerusi operasi kawalan sempadan Sarawak, dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negeri.
Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Zulkininie Yunus berkata, kejayaan itu disokong penggunaan peralatan pengawasan yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan keupayaan anggota memantau pergerakan di kawasan sempadan.
“Setakat Oktober 2026, hampir RM1.7 juta nilai rampasan telah kita buat dan serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menangani isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai delegasi 3 Briged mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Rabu.
Menurutnya, peralatan pengawasan itu amat membantu operasi pemantauan di 18 pos sempadan di Sarawak serta lima pos di sebelah Indonesia, khususnya bagi mengesan kegiatan penyeludupan di laluan yang dikenal pasti berisiko.
Katanya, operasi kawalan sempadan dilaksanakan menerusi dua sektor dengan penempatan anggota di pos kawalan dan rondaan di laluan strategik bagi mengekang penyeludupan dadah, senjata serta barangan lain yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negeri.
“Peralatan itu amat berguna dalam tugasan dan kerja yang kami laksanakan, khususnya bagi pengawasan di kawasan sempadan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan operasi merangkumi pengusiran, rampasan dan tangkapan, manakala barangan yang dirampas diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, latihan berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan penguasaan anggota terhadap laluan dan kawasan operasi, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan mengesan serta menyekat pergerakan pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
Brigedier Jeneral Zulkininie dalam pada itu turut menegaskan kepentingan penggunaan sepenuhnya peralatan risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan sempadan.
Turut hadir, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Datu Abdul Wahab Rahim, Pegawai Staf 2 Gerak Mejar Shamrul Farhan Abdullah, Pegawai Staf 2 Logistik Mejar Ts Leong Cheng Shung, Pegawai Staf 3 Anggota/Atur Turus Leftenan Hadzeri Julai serta Ketua Platun Sasaran Penting Leftenan Muda Aidil Fiqrie Naim. -EDISI UKAS