Desa Indah Permyjaya Bakal Nikmati Dua Taman Rekreasi Baharu
MIRI: Penduduk Desa Indah, Permyjaya bakal menikmati dua taman rekreasi baharu menerusi peruntukan RM400,000 bagi menyediakan kemudahan riadah yang lebih selesa dan mudah diakses penduduk setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kedua-dua taman rekreasi yang akan dibangunkan di Desa Indah 2A dan Desa Indah 3B itu bertujuan menyediakan ruang kepada penduduk untuk beriadah, bersenam dan meluangkan masa bersama keluarga tanpa perlu pergi jauh dari kawasan kediaman.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan berkenaan amat penting memandangkan Desa Indah mempunyai kira-kira 3,104 buah rumah, sekali gus memerlukan kemudahan rekreasi yang mencukupi berhampiran kawasan perumahan.
“Selain menggalakkan gaya hidup sihat, taman rekreasi juga menjadi ruang untuk penduduk berinteraksi, berkenalan dan mengeratkan hubungan kejiranan,” katanya ketika ditemui media, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan rekreasi di kawasan Senadin akan diteruskan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Malah jelasnya, sebanyak 51 taman rekreasi telah dibangunkan di kawasan Senadin setakat ini, termasuk taman awam dan taman mini di kawasan perumahan.
“Permintaan terhadap kemudahan ini juga menggalakkan, khususnya pada waktu petang apabila ramai penduduk menggunakannya untuk berjoging dan melakukan aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya lagi. -EDISI UKAS