RM13 Juta Atasi Kerosakan Jalan & Masalah Banjir Di Miri
MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan keseluruhan RM13 juta bagi membaik pulih jalan yang rosak akibat banjir serta menambah baik sistem perparitan di kawasan Desa Senadin, Permyjaya dan Riam.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penurapan semula jalan yang terjejas akibat banjir pada awal tahun ini, manakala RM3 juta lagi bagi penambahbaikan sistem perparitan di kawasan berisiko.
Menurutnya, peruntukan RM10 juta itu diluluskan selepas beliau mengemukakan rayuan kepada Premier Sarawak bagi mempercepatkan kerja pembaikan jalan yang mengalami kerosakan teruk.
“Masih terdapat beberapa jalan yang memerlukan kerja pembaikan dan penurapan semula, justeru usaha berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau projek penurapan semula jalan di Jalan Desa Indah 3, Permyjaya, di sini pada Rabu.
Dato Sri Lee berkata, proses tender bagi kerja pembaikan jalan telah ditutup pada 13 Oktober lalu, dengan pelaksanaan projek dijangka bermula November ini selepas kontrak dianugerahkan.
Bagi menangani masalah banjir pula, Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti kawasan berisiko serta menentukan langkah penambahbaikan sistem perparitan yang diperlukan.
Penelitian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan Senadin, termasuk Desa Senadin dan Permyjaya, selain lokasi lain yang turut terjejas.
Beliau menegaskan bahawa usaha membaik pulih infrastruktur dan mengurangkan risiko banjir akan terus diberi perhatian bagi menangani masalah yang dihadapi penduduk setempat. -EDISI UKAS