Vandalisme Utiliti Sarawak Catat Kerugian RM48.43 Juta
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 6,328 kes vandalisme terhadap kemudahan utiliti dan telekomunikasi di Sarawak direkodkan dari 2023 hingga suku kedua 2026, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM48.43 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kegiatan itu turut menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna berikutan kerosakan aset awam yang memerlukan kos pembaikan dan penggantian peralatan yang tinggi.
“Proses pemulihan yang mengambil masa turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan reputasi agensi utiliti dan telekomunikasi.
“Pada masa yang sama, reputasi agensi utiliti dan telekomunikasi turut terjejas akibat gangguan perkhidmatan yang berulang, walaupun agensi berkenaan merupakan mangsa vandalisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2026 Peringkat Bahagian Samarahan di sini, pada Rabu.
Dato Sri Julaihi berkata, Bahagian Samarahan merekodkan 308 kes dalam tempoh sama dengan anggaran kerugian mencecah RM1.54 juta.
Antara kemudahan yang sering menjadi sasaran termasuk peralatan di loji bekalan air, meter air, pili air, transformer, kabel elektrik, lampu jalan dan komponen pembumian.
Bagi sektor telekomunikasi pula, aset yang terdedah kepada kegiatan berkenaan termasuk stesen pemancar di menara telekomunikasi, bateri dan kabel.
Beliau berkata, usaha membanteras vandalisme turut diperkukuh melalui pelaksanaan Ops Lusuh oleh Polis Diraja Malaysia bersama agensi berkaitan bagi memantau premis barangan terpakai dan membendung penjualan peralatan utiliti yang dipercayai dicuri.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu melindungi kemudahan utiliti dan telekomunikasi daripada terus menjadi sasaran vandalisme.-EDISI UKAS