MLNG Sumbang 300 Alat Pemadam Api Kepada 100 Kampung
BINTULU: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menyumbangkan 300 unit alat pemadam api kepada 100 kampung di sekitar Bintulu, Sebauh dan Tatau bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi kecemasan kebakaran.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, Abang Jimmy Abang Mordian berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman dan tahap kesiapsiagaan masyarakat terhadap aspek keselamatan.
“MLNG akan menyumbangkan sebanyak 300 unit alat pemadam api kepada 100 kampung di sekitar Bintulu, Sebauh dan Tatau.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti, khususnya ketika menghadapi kecemasan yang melibatkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) MLNG: Kawalan Bahaya Kemalangan Besar Industri (CIMAH) ITP 2026, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat, memahami prosedur keselamatan serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Maklumat yang tepat dapat mengurangkan kekeliruan, manakala latihan berterusan mampu meningkatkan keyakinan masyarakat untuk bertindak ketika kecemasan.
“Oleh itu, keselamatan perlu menjadi budaya yang diamalkan setiap hari, termasuk di rumah dan kawasan komuniti,” ujarnya.
Abang Jimmy turut mengingatkan masyarakat supaya memastikan peralatan elektrik digunakan dengan selamat, bahan mudah terbakar disimpan dengan betul serta laluan keluar sentiasa bebas daripada halangan.
Beliau berkata, pendidikan keselamatan juga perlu diterapkan sejak usia muda bagi memastikan kanak-kanak mengetahui tindakan yang sewajarnya diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Katanya, kerjasama antara pihak industri, kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, bersedia dan berdaya tahan. -EDISI UKAS