Hijrah Kasih Bimbing 66 Murid Bina Semula Masa Depan
KUCHING: Seramai 66 murid menyertai Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 Tahun 2026 bagi memperkukuh sahsiah, membina disiplin dan memupuk keyakinan diri sebagai asas kepada perubahan positif serta pembinaan masa depan yang lebih baik.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, institusi penjara bukan sekadar berfungsi sebagai tempat penempatan penghuni, malah berperanan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi menyokong proses pemulihan serta pembentukan sahsiah.
Katanya, penempatan di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney dirangka untuk membantu penghuni mengembangkan potensi diri, memartabatkan maruah dan menyemai harapan baharu menerusi pendidikan serta bimbingan yang bersesuaian.
“Program Hijrah Kasih selama dua hari ini memberi tumpuan kepada pemantapan sahsiah, adab dan nilai murni.
“Hijrah mengajar kita bahawa perjalanan menuju kejayaan memerlukan ketabahan, disiplin dan keazaman untuk meninggalkan masa lalu, manakala pendekatan berasaskan kasih menyediakan ruang selamat melalui empati, rahmat dan penerimaan tanpa syarat agar proses perubahan itu dapat berlaku dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 Tahun 2026, di Penjara Puncak Borneo, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak menjadikan pengalaman lalu sebagai penghalang untuk membina kehidupan yang lebih baik, sebaliknya mengambil iktibar daripada setiap pengalaman bagi memperbaiki diri.
Katanya, tempoh berada di institusi berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk bermuhasabah, menimba ilmu, membina kemahiran dan memperkukuh disiplin diri sebagai persediaan menghadapi kehidupan pada masa hadapan.
“Ukuran sebenar kehidupan seseorang bukan pada bagaimana dia bermula, tetapi pada bagaimana dia mengakhirinya.
“Sentiasa pasangkan azam dalam diri: ‘Aku mahu berubah, aku mampu berubah dan aku berhak mempunyai masa depan yang cerah’,” katanya lagi. -EDISI UKAS