i-CATS Kini Dikenali Sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Khamis mengumumkan penjenamaan semula i-CATS sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH), sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pendidikan tinggi dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi di Sarawak.
Pengumuman itu turut menyaksikan pengenalan logo dan identiti korporat baharu universiti berkenaan yang mencerminkan aspirasi Sarawak untuk memperkasakan penyelidikan, inovasi dan penguasaan teknologi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Nama universiti berkenaan telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas syor Lembaga Pengarah Universiti sebagai penghormatan kepada Gabenor pertama Sarawak selepas mencapai kemerdekaan.
Penjenamaan semula itu menyusuli pengiktirafan i-CATS sebagai universiti penuh oleh KPT pada 20 Oktober 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi milik Kerajaan Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, perubahan tersebut bukan sekadar melibatkan nama dan identiti korporat, sebaliknya mencerminkan hala tuju strategik universiti dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri serta ekonomi masa hadapan.
“Kita mahu universiti ini menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga membentuk modal insan holistik dan menyeluruh yang berintegriti, berakhlak mulia serta menjunjung tinggi nilai adab dalam menuntut dan mengembangkan ilmu.
“Kemajuan Sarawak perlu dipacu oleh generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi turut memiliki kematangan pemikiran, kekuatan sahsiah serta tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Keseimbangan inilah yang menjadi asas dalam melahirkan generasi berdaya saing, berwawasan dan berkeupayaan menerajui pembangunan Sarawak secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan media i-CATS.
Seiring dengan transformasi itu, TAHOTECH dipilih sebagai singkatan rasmi universiti berkenaan yang melambangkan komitmen untuk muncul sebagai institusi pendidikan tinggi unggul dalam pembangunan bakat, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi teknologi termaju.
Langkah tersebut juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan, penguasaan teknologi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sementara itu, logo baharu TAHOTECH menggabungkan elemen warisan budaya Sarawak, sumber asli, sains dan teknologi moden, sekali gus mencerminkan identiti institusi yang berteraskan nilai tempatan serta berorientasikan kemajuan global.
Transformasi universiti berkenaan dijangka memperkukuh peranannya dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, merancakkan penyelidikan dan inovasi serta menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi di Sarawak.-EDISI UKAS