350 Penduduk Bukit Saban Terima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18
SPAOH: Seramai 350 penduduk di kawasan Bukit Saban menarik nafas lega selepas menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, sekali gus memberikan jaminan pemilikan tanah yang sah dan berkekalan kepada penerima.
Majlis penyerahan surat hak milik tanah itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Masyarakat Spaoh pada Khamis.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr. Moris Nyaup berkata, sebanyak 488 lot tanah berjaya disukat secara individu di kawasan Bukit Saban, melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 929.7 hektar atau 2,297.3 ekar.
Penyerahan tersebut melibatkan enam kawasan, iaitu Ulu Bayor Rimbas, Ulu Rimbas Asal dan Baru, kawasan Inar, Ulu Paku, Kampung Hulu Spaoh serta kawasan Ulu Paku di bawah Projek Perintis Jubilee Occupations Ticket (JOT).
Beliau berkata, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong telah melaksanakan dua projek perintis di kawasan Bukit Saban, iaitu pengeluaran surat hak milik tanah melalui JOT serta pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menggunakan kaedah Hand-Held GPS bagi memperluas pelaksanaan pengukuran tanah di bahagian itu.
Dalam pada itu, TPr. Moris menasihati penerima supaya memanfaatkan tanah masing-masing sebagai aset bernilai yang berpotensi menjana pendapatan keluarga melalui aktiviti ekonomi dan komersial.
Bagi projek perintis pengukuran menggunakan kaedah Hand-Held GPS, sebanyak 17 kawasan telah dikenal pasti.
Daripada keseluruhan kawasan seluas 2,391.17 hektar, sebanyak 578.2 hektar melibatkan 549 lot berjaya diukur, manakala 303 lot telah berjaya dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Sementara itu, projek perintis JOT merekodkan sebanyak 152 lot dikenal pasti, dengan 77 lot melibatkan keluasan 101.4 hektar berjaya dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen yang sama.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Pembangunan Zon Pejabat Negeri Sarawak Radiah Muhamed@Muhamad, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Jurutera Bahagian JKR Betong Jason Ng Boon Tuan, Setiausaha Majlis Daerah Betong Llster Clement Guwie serta Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim.-EDISI UKAS