12 Ahli MPKK Serian Santuni 90 Warga Emas, Semai Nilai Kepimpinan Dan Kesukarelawanan
SERIAN: Seramai 12 ahli Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) Bahagian Serian berpeluang menyantuni kira-kira 90 warga emas di Rumah Seri Kenangan, sekali gus memupuk nilai kepimpinan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Aktiviti berkenaan merupakan antara pengisian Program Kepimpinan MPKK Bahagian Serian Tahun 2026 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dengan kerjasama Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Serian yang berlangsung di Dewan Rumah Seri Kenangan, Batu 12, Jalan Kuching-Serian.
Wakil Pengerusi PPKK Serian, Wati Gian berkata, program itu bertujuan memperkukuh kefahaman ahli MPKK mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai wakil suara kanak-kanak, khususnya dalam menyuarakan pandangan serta menyokong usaha kebajikan dan perlindungan golongan berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kerjasama berpasukan melalui pelbagai aktiviti pembelajaran, pembinaan pasukan serta khidmat komuniti.
Selain itu, penglibatan secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan memberi peluang kepada peserta untuk memahami keperluan masyarakat, sekali gus membentuk keperibadian yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan berjiwa penyayang.
Program berkenaan melibatkan masing-masing dua wakil dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarat, SMK Balai Ringin, SMK Tun Abdul Razak, SMK Padawan, SMK Siburan dan SMK Tebedu, bersama guru pengiring dari sekolah terbabit.
Antara pengisian utama ialah aktiviti menyantuni penghuni Rumah Seri Kenangan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.
Penganjuran program itu diharap dapat melahirkan ahli MPKK yang berkeyakinan, berdaya kepimpinan dan mampu memainkan peranan lebih aktif dalam menyuarakan aspirasi kanak-kanak serta menyumbang kepada pembentukan komuniti yang selamat, inklusif dan penyayang.-EDISI UKAS