KUCHING: Perkembangan penerbitan buku tulisan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ke Astana Sarawak, di sini, pada Khamis.
Delegasi yang diketuai Naib Canselor UTS, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman itu turut mendapatkan perkongsian Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi mengenai pengalaman, cabaran dan sumbangan beliau sepanjang kerjaya sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Maklumat tersebut menjadi antara input bagi membantu UTS mendokumentasikan perjalanan hidup dan sumbangan beliau dalam penerbitan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTS Profesor Dr. Mohd Zainal Munshid Harun, Pengarah Pusat Penerbitan Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Abong Abdullah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Profesor Madya Dr. Mohd Zahid Abidin serta Ketua Jabatan Korporat dan Perhubungan Mohd Ian Daim Mahmud.-EDISI UKAS