Pendekatan Dakwah Perlu Seiring Perubahan Zaman, Perkukuh Keharmonian Masyarakat
ASAJAYA: Pendekatan dakwah perlu terus berkembang seiring perubahan zaman dengan menekankan nilai keterbukaan, saling menghormati dan persefahaman bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan teknologi digital dan pengaruh hiburan masa kini menuntut pendekatan dakwah yang lebih kreatif, berhemah dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurut beliau, usaha menyampaikan ilmu dan nilai agama bukan sahaja perlu berteraskan pengetahuan, malah harus diterjemahkan melalui akhlak terpuji, integriti dan teladan yang baik dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Menyemai Bakti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Kali Ke-25 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan bahawa keunikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati serta keprihatinan terhadap keperluan semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bakal graduan IKMAS supaya bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah berupaya mengaplikasikan pengetahuan tersebut melalui khidmat bakti, keperibadian mulia dan hubungan baik dengan masyarakat.
Katanya, pengalaman menyertai program berkenaan juga perlu dimanfaatkan untuk memahami kehidupan komuniti setempat, meningkatkan kemahiran insaniah serta membentuk jati diri sebagai individu yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Penganjuran selama 10 hari dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu melibatkan 56 pelajar IKMAS yang ditempatkan bersama 35 keluarga angkat di sekitar Asajaya dan Sadong Jaya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah IKMAS, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Bahagian Samarahan, Temenggong Dato’ Chek Bujang dan Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian, Aswat Osen yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.-EDISI UKAS