KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan SMD Semiconductor memperkukuh kerjasama komunikasi strategik bagi menyokong penganjuran SMD Chiptech Symposium 2026 yang dijadual berlangsung pada 4 November depan.
Perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi SMD Semiconductor ke ibu pejabat UKAS di sini pada Khamis bagi menyelaras keperluan komunikasi, hebahan serta liputan media sepanjang penganjuran simposium berkenaan.
Delegasi SMD Semiconductor diketuai Ketua Komunikasi Strategiknya, Syeliza Abang Basri bersama pegawainya, Adailton Teoh, manakala UKAS diwakili Timbalan Pengarah Joachim Paggang Jabong serta beberapa pegawai agensi berkenaan.
Pertemuan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai persiapan program, selain meneroka pendekatan komunikasi yang berkesan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perkembangan industri semikonduktor di Sarawak.
SMD Chiptech Symposium 2026 yang bakal berlangsung di Kuching dijangka menghimpunkan pemimpin industri semikonduktor, inovator teknologi, ahli akademik, penyelidik, pelabur serta pembuat dasar bagi membincangkan perkembangan industri, peluang pelaburan dan hala tuju ekosistem semikonduktor serta teknologi mendalam di Sarawak.
Simposium itu turut menampilkan sesi perbincangan panel dan perkongsian kepakaran bersama rakan teknologi serta institusi akademik dengan majlis penutup dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Kerjasama berkenaan diharap dapat memperluas penyebaran maklumat mengenai pembangunan industri semikonduktor, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab teknologi dan inovasi berdaya saing.-EDISI UKAS