SIMUNJAN: Projek pembinaan ban bernilai RM2.5 juta yang melibatkan kawasan Kampung Tebuan Iban, kawasan pertanian Kampung Sekendu hingga Taman Hijrah di daerah Simunjan siap dilaksanakan pada 15 September lalu, sekali gus memperkukuh usaha tebatan banjir dan melindungi kawasan pertanian penduduk setempat.
Penyerahan siap projek itu disempurnakan oleh pihak kontraktor kepada Ketua Kaum Kampung Sekendu Baru, Taffy Minchong, dalam satu majlis yang berlangsung di kampung berkenaan pada Khamis.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh pegawai-pegawai daripada Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Simunjan serta Pusat Khidmat DUN Simunjan.
Projek di bawah peruntukan IRSDA itu melibatkan pembinaan ban sepanjang 3,541 meter, termasuk dua pintu air bagi membantu meningkatkan keberkesanan sistem tebatan banjir di kawasan berkenaan.
Projek itu dijangka memberikan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat, khususnya dalam membantu mengurangkan risiko banjir yang boleh menjejaskan kawasan pertanian dan kehidupan masyarakat kampung.
Pelaksanaan projek tersebut diharap dapat menyediakan perlindungan lebih baik kepada kawasan pertanian, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti pertanian dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Penyerahan siap projek itu turut menandakan kerjasama antara pihak pelaksana dengan masyarakat setempat dalam memastikan kemudahan infrastruktur yang dibina dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Pemantauan dan penyelenggaraan berterusan juga penting bagi memastikan ban serta pintu air berfungsi dengan baik dan terus memberikan manfaat kepada penduduk dalam jangka panjang.
Hadir sama ke majlis serah siap projek tersebut ialah Pegawai Tadbir IRSDA, Chua Wey Lin, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Samantha Claire Daniel, Penolong Jurutera DID, Christalvin Unting Cherry serta wakil dari Pusat Khidmat DUN Simunjan, Raffendy Arifffen. -EDISI UKAS