Miri Perkukuh Mitigasi Banjir Melalui Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi
MIRI: Mitigasi banjir di Senadin menjadi fokus Projek Rintis Fasa II Strategi Pembandaran Mampan ASEAN (ASUS) bagi memperkukuh daya tahan Bandaraya Miri terhadap perubahan iklim menerusi penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, pendekatan itu penting dalam menangani cabaran pembandaran pesat, termasuk banjir bandar, kebakaran tanah gambut, tanah runtuh dan hakisan pantai.
Menurut Adam, Senadin dipilih sebagai lokasi projek rintis dengan mitigasi banjir dikenal pasti sebagai keutamaan susulan hujan lebat, kekangan kapasiti sistem perparitan dan kesan perubahan iklim.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran projek rintis ASUS Fasa II di Kenyalang Smart City Convention and Exhibition Centre 1, Senadin, pada Khamis.
Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan termasuk pemulihan tanah lembap, pembinaan taman hujan, saliran landskap, permukaan telap air dan kolam takungan bagi meningkatkan penyerapan air serta mengurangkan risiko banjir.
Beliau menegaskan pengurusan banjir yang berkesan memerlukan pendekatan bersepadu serta kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, industri dan komuniti bagi memastikan penyelesaian yang dirancang memenuhi keperluan sebenar bandar.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), dengan Majlis Perbandaran Miri dipilih sebagai bandar rintis utama di Malaysia untuk membangunkan Strategi Pelaburan Berasaskan Alam Semula Jadi bagi Daya Tahan Iklim. -EDISI UKAS