Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi PUNB
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.
Kunjungan hormat yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Rastam Mohd Isa itu bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PUNB serta berkongsi maklumat mengenai peranan dan inisiatif perbadanan itu dalam memperkasa pembangunan keusahawanan Bumiputera, khususnya di Sarawak.
Pertemuan itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pendekatan yang lebih berkesan dalam memperluas peluang keusahawanan, meningkatkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam kegiatan ekonomi serta memperkukuh ekosistem pembangunan usahawan di Bumi Kenyalang.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dalam pertemuan tersebut menekankan kepentingan memperluas peluang keusahawanan kepada masyarakat Bumiputera, termasuk di kawasan luar bandar, menerusi kemudahan pembiayaan, bimbingan perniagaan dan program pembangunan kapasiti usahawan.
Beliau turut menyarankan PUNB mempergiat program turun padang serta memperluas hebahan mengenai kemudahan pembiayaan dan peluang perniagaan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada maklumat berkenaan.
Selain itu, TYT Sarawak menekankan kepentingan proses permohonan pembiayaan yang mudah, telus dan cekap, selain memastikan penyaluran bantuan dibuat secara adil berdasarkan kelayakan serta potensi perniagaan pemohon.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin, Ketua Pejabat Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Razlan Bachik dan Nurazlina Abdul Ghafar, Ketua Operasi Cawangan (Pra-Operasi) Rafae Abd Rashid serta Ketua Pejabat Wilayah Sarawak Shariza Sapuan.-EDISI UKAS