Geran Hak Milik Tanah Seksyen 18 Jamin Masa Depan Penduduk Rumah Panjang
SPAOH: Pengeluaran Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak memberi jaminan pemilikan tanah secara kekal kepada masyarakat rumah panjang, sekali gus membuka peluang untuk merancang pembangunan tanah bagi jangka masa panjang.
Tuai Rumah Panjang Senunok, Henry Ilon berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak itu memberikan kepastian kepada masyarakat terhadap pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Beliau turut menyambut baik kemudahan yang diberikan kepada pemilik tanah, termasuk pengecualian bayaran premium tanah, kos pengukuran dan kos pengeluaran surat hak milik.
Sementara itu, Tuai Rumah Panjai Danau, Stanley Bye berkata, pemilikan tanah secara kekal memberikan peluang kepada masyarakat rumah panjang untuk memanfaatkan tanah bagi aktiviti ekonomi seperti pertanian dan penternakan.
Katanya, aktiviti tersebut berpotensi meningkatkan pendapatan serta memperkukuh ekonomi keluarga dan masyarakat setempat sekiranya tanah diusahakan secara terancang.
Beliau berharap semua pemilik tanah dapat menggunakan tanah masing-masing dengan sebaik-baiknya melalui aktiviti yang produktif dan mengikut peraturan, demi memberikan manfaat berterusan kepada diri sendiri, keluarga serta generasi akan datang.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pengiktirafan hak pemilikan tanah NCR, di samping menggalakkan masyarakat luar bandar memanfaatkan tanah sebagai aset bagi menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup.
Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) Bagi Kawasan Bukit Saban telah dianjurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini pada Khamis.
Ia disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.-EDISI UKAS