DBKU Teroka Hubungan Bandaraya Berkembar Dengan Palangkaraya, Banjarmasin
KUCHING: Hubungan bandaraya berkembar antara Kuching dan Pontianak berpotensi diperluas kepada Palangkaraya dan Banjarmasin menerusi usaha Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkukuh kerjasama serantau, dengan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) menjadi platform mempererat hubungan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peluasan jaringan itu berpotensi membuka ruang perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pentadbiran bandar raya antara Sarawak dengan kota-kota di Kalimantan, Indonesia.
Menurutnya, perbincangan bersama pihak pengurusan DBKU akan diadakan bagi meneroka cadangan menghantar pegawai ke beberapa kota di lima provinsi di Kalimantan, sekali gus mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan bersama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis makan tengah hari bagi meraikan pengurusan dan peserta MTQBB, di sini pada Khamis.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, MTQBB bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh penghayatan terhadap Al-Quran, malah berperanan mengeratkan ukhuwah Islamiah serta hubungan antara bandar raya dan kota di seluruh Borneo.
Penganjuran yang berlangsung sejak 26 Oktober itu menghimpunkan peserta dari lapan bandar raya dan kota di Borneo, termasuk Kota Kinabalu, Brunei Darussalam serta beberapa kota dari lima provinsi di Kalimantan.
Program berkenaan merangkumi pertandingan tilawah dan hafazan Al-Quran yang melibatkan penyertaan qari, qariah, hafiz dan hafizah daripada bandar raya serta kota yang mengambil bahagian.
Menurutnya, Kuching turut mencatat sejarah sebagai tuan rumah pertama pertandingan tilawah dan hafazan Al-Quran di peringkat bandar raya Se-Borneo, selepas penganjuran tilawah Se-Borneo di Pontianak pada 2023.
Selain pertandingan, para peserta turut berpeluang mengunjungi beberapa lokasi menarik di Kuching sebagai sebahagian daripada pengisian program sebelum majlis penangguhan yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.
Beliau berharap penganjuran itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan memberi peluang kepada bandar raya dan kota lain di Borneo menjadi tuan rumah, sekali gus memperluas jaringan kerjasama serantau melalui penghayatan Al-Quran dan perkongsian kepakaran. -EDISI UKAS