SPAOH: Pemimpin komuniti khususnya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru supaya bersikap terbuka dan berani meneroka peluang baharu bagi memastikan pembangunan Spaoh terus berkembang seiring perubahan semasa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Spaoh mempunyai potensi pembangunan yang perlu dimanfaatkan melalui penglibatan aktif masyarakat serta kerjasama antara agensi kerajaan dan pemimpin komuniti.
Menurut beliau, Spaoh mempunyai kelebihan tersendiri melalui pembangunan strategik termasuk STOLport Bebuling, Agropark Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling yang berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Ini membuktikan kawasan kita di Spaoh semakin membangun dari pelbagai sudut jadi saya menyeru KMKK supaya sentiasa berfikiran terbuka serta berusaha memajukan diri dan komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Majlis Makan Malam Sempena Pesta Tanglung Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini pada Khamis.
Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, penyiapan Jambatan Paku yang menghubungkan Daerah Kecil Spaoh dengan Bandar Betong turut memperkukuh jaringan perhubungan setempat, sekali gus menyediakan kemudahan lebih baik kepada penduduk dan menyokong aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Beliau turut menyeru agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan penduduk supaya berganding bahu mencetuskan idea kreatif serta menganjurkan lebih banyak program bagi menarik pengunjung dan merancakkan ekonomi tempatan.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas Uggah menyertai perarakan tanglung bersama masyarakat setempat sebelum menyempurnakan upacara penyalaan tanglung di perkarangan Waterfront Pasar Spaoh sempena sambutan Pesta Tanglung 2026.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pengerusi SUPP Saribas Datuk Liam Kian Chun, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim, Temenggung Cina Bahagian Betong Kueh Tu Teck, Pemanca Masyarakat Cina Daerah Betong Goh Liang Tong, Pengerusi Pengelola Program Kaunselor Lai Ngit Sin serta Guru Besar SJK (C) Chung Hua Spaoh merangkap Pengerusi Pengelola Bersama, James Lau Jenn Yunn.-EDISI UKAS