SKS Sri Aman Semarak Dengan Pelbagai Aktiviti, Pameran Dan Sajian Tempatan
SRI AMAN: Suasana di Kompleks Sukan Sri Aman hari ini meriah dengan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang membuka reruai pameran masing-masing bagi menawarkan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan turut berkesempatan meninjau setiap reruai pameran yang disediakan, selain berinteraksi bersama petugas serta melihat pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengunjung.
Program SKS turut mengetengahkan Sri Aman Kitchen yang menampilkan pelbagai juadah dan produk daripada peniaga serta pengusaha perusahaan kecil tempatan.
Datuk Snowdan turut menyertai aktiviti simbolik memasak bubur pedas bersama MAKSAK Wanita Sarawak yang menyerlahkan elemen kebersamaan selain mengangkat makanan tradisional sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan masyarakat Sarawak.
Bukan sekadar pameran dan perkhidmatan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung, termasuk persembahan kebudayaan yang dijadualkan menghiburkan orang ramai pada malam ini.
Program SKS Bahagian Sri Aman menjadi antara platform yang menghimpunkan masyarakat bersama agensi kerajaan, usahawan tempatan serta penggiat seni dan budaya dalam suasana santai dan mesra komuniti.
Orang ramai khususnya masyarakat Sri Aman dialu-alukan untuk hadir memeriahkan program yang menyediakan pelbagai pameran, perkhidmatan, sajian tempatan serta aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang.-EDISI UKAS