SAREX26 Sasar 808 Peserta, Tawar Hadiah Wang Tunai RM50,000
KUCHING: Sarawak Esports Expo 2026 (SAREX26) yang bakal berlangsung dari 13 hingga 15 November ini menyasarkan penyertaan seramai 808 peserta menerusi enam kategori pertandingan e-sukan dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM50,000.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SAREX26 di Sarawak Sports Village, Kompleks Sukan Sarawak itu merupakan platform penting dalam memperkembangkan industri e-sukan di negeri ini.
Menurut beliau, SAREX26 bukan sekadar pertandingan permainan digital, sebaliknya turut menjadi medan untuk menghubungkan pembangunan sukan, belia, pelancongan, teknologi, industri kreatif dan keusahawanan.
“E-sukan kini berkembang pesat bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh dunia dan semakin mendapat penyertaan golongan belia. Kita di Sarawak juga tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan industri ini.
“Melalui penganjuran SAREX26, kita mahu melihat lebih ramai anak muda Sarawak bukan sahaja menjadi pemain, tetapi turut terlibat secara profesional dalam industri ini termasuk bidang pengurusan kejohanan, penyiaran, pembangunan teknologi dan penciptaan kandungan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman SAREX26 di pejabatnya di sini pada Jumaat.
Enam kategori pertandingan yang dipertandingkan ialah PUBG Mobile Open, Mobile Legends: Bang Bang Men, Mobile Legends: Bang Bang Women, Racing Simulation Open, Tekken 8 Open dan eFootball Open.
Selain pertandingan, SAREX26 turut menampilkan Bengkel Pensijilan Kru E-sukan (Esports Crew Certification Workshop) yang menyasarkan penyertaan kira-kira 100 peserta bagi memberikan pendedahan berkaitan pengurusan kejohanan, keperluan teknikal, pentadbiran pertandingan, penyiaran dan pengurusan acara.
Bengkel berkenaan akan dikendalikan oleh dua tenaga pengajar berpengalaman dalam industri e-sukan Malaysia iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Yew Weng Kean, atlet e-sukan pertama Malaysia yang memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2019 menerusi permainan Hearthstone, serta Naib Presiden II Persekutuan E-sukan Malaysia, Muhammad Faries Faizal Shamsul.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, penganjuran bengkel itu juga tepat pada masanya sebagai persediaan Sarawak membangunkan tenaga kerja tempatan berkemahiran bagi menyokong penganjuran acara e-sukan berskala besar termasuk menjelang Sukan SEA 2027 di Kuching.
Dalam pada itu, SAREX26 turut menghimpunkan beberapa tokoh antarabangsa dan pemimpin industri e-sukan menerusi forum serta sesi dialog industri yang melibatkan wakil Persekutuan E-sukan Antarabangsa, Persekutuan E-sukan Rusia, Persekutuan E-sukan Asia Tenggara dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Kira-kira 10 ruang pameran turut disediakan bagi menampilkan syarikat teknologi, perniagaan permainan digital, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pihak berkepentingan industri, selain gerai makanan dan minuman untuk pengunjung.
Mengulas mengenai penyertaan, beliau berkata sebanyak 600 pendaftaran telah diterima setakat ini dan pihak penganjur optimis sasaran 808 peserta dapat dicapai menjelang hari pertandingan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Persatuan E-sukan Sarawak sebelum ini telah melaksanakan program PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak bersama Tencent Games yang merekodkan penyertaan seramai 3,322 orang di seluruh Sarawak.
Secara keseluruhan, gabungan penyertaan program komuniti berkenaan dan sasaran pertandingan SAREX26 mewakili 4,130 peluang penyertaan serta penglibatan dalam ekosistem e-sukan di Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim juga berharap penganjuran SAREX26 dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk mengembangkan bakat, membina kerjaya serta meneroka potensi perniagaan dalam industri e-sukan.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Morshidi Fredrick; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mu’azamir Jili; Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr Charlie Dudang; Ketua Seksyen Acara, Tracy Evon; Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi serta Pengurus E-Sukan PUBG MOBILE Malaysia, Aiman Wafiy.-EDISI UKAS