KUALA LUMPUR: Sebanyak 473 acara daripada 43 jenis sukan disahkan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA ke-34 Malaysia 2027 yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan dengan Sarawak menjadi antara empat kluster penganjuran bersama Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Pengesahan senarai akhir acara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Bilangan 3 (2025–2027) pada Jumaat, sekali gus membolehkan 11 negara anggota mempergiat persiapan menghadapi temasya sukan dwitahunan terbesar di Asia Tenggara itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dr Nur Azmi Ahmad itu turut memuktamadkan senarai acara selepas melalui perbincangan terperinci antara MOM, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Jawatankuasa Eksekutif SEAGF.
Menurut Dr Nur Azmi, keputusan berkenaan memberikan kejelasan kepada semua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) anggota SEAGF untuk menyusun strategi, merancang penyertaan atlet serta memperkukuh persiapan masing-masing.
“Kelulusan senarai akhir 473 acara ini memberikan kejelasan lebih besar kepada kesemua 11 NOC anggota SEAGF untuk merancang dan memperhebat persiapan menghadapi Sukan SEA ke-34 Malaysia 2027,” katanya.
Beliau berkata, pemuktamadan senarai acara itu dibuat selaras dengan Piagam serta Peraturan SEAGF bagi memastikan penganjuran temasya berjalan mengikut ketetapan yang dipersetujui negara anggota.
Penganjuran Sukan SEA 2027 yang melibatkan empat kluster utama turut menyaksikan Sarawak memainkan peranan sebagai antara lokasi tuan rumah temasya sukan serantau berprestij itu.
Selain pengesahan acara pertandingan, mesyuarat berkenaan turut mencatat satu lagi perkembangan penting apabila Sukan SEA Malaysia 2027 secara rasmi dikemukakan sebagai penandatangan Kod Anti-Doping Dunia (WADC).
Langkah itu mencerminkan komitmen penganjur untuk memastikan temasya berkenaan dilaksanakan berlandaskan prinsip integriti, keadilan dan pematuhan terhadap piawaian anti-doping antarabangsa.
Borang Pengakuan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di bawah Dasar Penerimaan Penandatangan Baharu WADC ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat SEAGF, Chaiyapak Siriwat bagi pihak Pejabat SEAGF.
Turut menandatangani dokumen berkenaan ialah Setiausaha Agung MOM merangkap Setiausaha Kehormat SEAGF, Mohd Nasir Ali yang mewakili NOC tuan rumah.
Mesyuarat itu turut dihadiri Naib Pengerusi Kedua Jawatankuasa Eksekutif SEAGF, Jessie Phua, Naib Pengerusi Ketiga SEAGF, Chaiyapak Siriwat, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Abdul Rashid Yaakub serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datu Hii Chang Kee.
Hadir sama wakil daripada kesemua 11 NOC anggota SEAGF serta pengerusi jawatankuasa berkaitan sukan, anti-doping, wanita dan sukan serta penyiaran.-EDISI UKAS