Empat Lampu Solar, Pondok Rehat Dibaik Pulih Manfaat Penduduk Kuala Nyalau
BINTULU: Pemasangan empat unit lampu solar dan kerja membaik pulih pondok rehat di jeti utama di Kampung Kuala Nyalau memberi sinar baharu kepada komuniti pesisir pantai khasnya nelayan di kampung itu yang menjalankan aktiviti memancing di laut.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, walaupun berskala sederhana, inisiatif di bawah Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu Tahun 2026 itu mampu memberi impak bermakna apabila memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat.
“Walaupun inisiatif ini nampaknya kecil-kecil atau sederhana sahaja, tetapi impaknya besar kerana ia dapat dirasai secara langsung oleh penduduk kampung setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat nelayan dan juga mereka yang suka memancing ke laut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu Tahun 2026 di Kampung Kuala Nyalau pada Jumaat.
Menurut Datuk Majang, kerjasama antara Maritim Malaysia dengan penduduk kampung perlu diteruskan bagi memastikan keperluan komuniti pesisir pantai terus diberi perhatian.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menyumbang kepakaran, dana dan tenaga bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Katanya, Program Sahabat Maritim juga berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat, selain memupuk semangat kerjasama dan saling membantu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Zon Bintulu, Timothy Alexander yang mewakili Pengarah Maritim Zon Bintulu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Bintulu, Komander Maritim Nicholas Jugah Sanji, Pengurus Press Metal Cawangan Kuching, Nina Melling serta Ketua Kampung Kuala Nyalau, Amit Salleh.-EDISI UKAS