Jambatan Batang Paloh Permudah Akses Ke Pulau Bruit, Pacu Ekonomi Setempat
DARO: Pembukaan awal Jambatan Batang Paloh bernilai RM299 juta menamatkan sebahagian kebergantungan penduduk Pulau Bruit terhadap pengangkutan air, sekali gus meningkatkan akses perhubungan ke Mukah dan Tanjung Manis.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan itu mencerminkan perubahan besar yang dinikmati penduduk hasil pembangunan infrastruktur negeri, berbanding keadaan sebelum ini apabila perjalanan ke kawasan berkenaan memerlukan penggunaan perahu.
“Ketika saya pertama kali datang ke kawasan ini pada penghujung tahun 2000, kita terpaksa menggunakan perahu untuk sampai ke sini. Namun, hari ini keadaan sudah banyak berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pembukaan Awal (Soft Opening) Jambatan Batang Paloh, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris serta tetamu kenamaan lain.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah lagi, jambatan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah meningkatkan hubungan antara kawasan pesisir serta membuka peluang kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
Beliau mengakui projek berkenaan mengalami sedikit kelewatan, namun pembukaannya berjaya direalisasikan menerusi kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor, Jabatan Sungai-Sungai dan agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas komitmen merealisasikan pembangunan infrastruktur berkenaan.
Jambatan bernilai RM299 juta itu merupakan jambatan utama ke-13 yang siap dibina daripada keseluruhan 22 jambatan utama yang sedang dilaksanakan di Sarawak.
Susulan pembukaan jambatan tersebut, perkhidmatan feri Batang Paloh akan dipindahkan ke kawasan Kedang, manakala JKR akan menyediakan kemudahan jeti atau laluan pendaratan yang bersesuaian.
Pembukaan awal jambatan itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan di Pulau Bruit, sekali gus menyokong mobiliti penduduk dan pembangunan kawasan berkenaan.-EDISI UKAS