13 Daripada 22 Jambatan Utama Sarawak Siap Dibina, Libatkan RM7 Bilion
DARO: Sebanyak 13 daripada 22 projek pembinaan jambatan utama di Sarawak telah siap dibina, melibatkan keseluruhan nilai projek kira-kira RM7 bilion yang dibiayai sendiri kerajaan negeri bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan aksesibiliti rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memperluas pembangunan infrastruktur, khususnya dalam menghubungkan kawasan yang memerlukan kemudahan perhubungan lebih baik.
Jelasnya, Jambatan Batang Paloh yang bernilai kira-kira RM299 juta merupakan antara projek yang telah siap dibina, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan bagi penduduk di kawasan pesisir.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pembukaan Awal (Soft Opening) Jambatan Batang Paloh, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, pembangunan jaringan pengangkutan negeri turut dilengkapi pelaksanaan Jalan Pesisir sepanjang 890 kilometer dan pembinaan Jalan Kedua (Second Trunk Road).
Kedua-dua laluan itu melengkapi pembinaan jambatan utama dalam membentuk rangkaian pengangkutan yang lebih menyeluruh, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan meningkatkan hubungan antara kawasan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman dijadualkan dibuka kepada orang ramai pada 31 Oktober ini, menambah satu lagi kemudahan perhubungan utama di Sarawak.
Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan mencerminkan komitmen Premier Sarawak bersama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meneruskan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris serta tetamu kenamaan lain. - EDISI UKAS