Sarawak perlukan lebih ramai tenaga pengajar pendidikan khas kanak-kanak
SIBU: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga pengajar terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pendidikan dan intervensi awal di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keperluan itu semakin mendesak berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan pendekatan pengajaran, sokongan dan intervensi bersesuaian.
“Tidak semua orang mahu atau mampu menjadi guru yang mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas. Apa yang penting ialah mereka mempunyai keikhlasan, empati, kesabaran dan belas ihsan terhadap keperluan kanak-kanak ini.
“Kompetensi boleh dilatih dan dipertingkatkan, tetapi sifat empati, kesabaran serta keprihatinan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas perlu ada dalam diri seseorang pendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pendidikan Khas di Methodist Pilley Institute (MPI) di sini, pada Jumaat.
Katanya, pelancaran Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pendidikan Khas oleh MPI merupakan inisiatif penting dalam melahirkan tenaga pendidik yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi khusus untuk mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas.
Dato Sri Fatimah turut menggalakkan MPI mempertimbangkan penawaran program pengajian lain yang berkaitan dengan keperluan kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya terapi pertuturan, terapi cara kerja dan fisioterapi.
Beliau berkata, Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) ketika ini hanya mempunyai seorang ahli terapi pertuturan walaupun permintaan terhadap perkhidmatan itu tinggi.
Menurut Dato Sri Fatimah, apabila pihak kementerian meninjau kembali sumber tempat ahli terapi pertuturan dilatih seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setiap kohort hanya mempunyai kira-kira 25 penuntut untuk seluruh Malaysia, yang mana jumlah itu jelas tidak mencukupi.
“Jika kita melihat kepada keperluan di pusat intervensi awal, terapi pertuturan, terapi cara kerja dan fisioterapi amat diperlukan.
“Saya berharap MPI dapat melihat peluang untuk menawarkan program dalam bidang ini sebagai satu lagi usaha melahirkan tenaga profesional yang diperlukan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, MPI telah membuka pendaftaran pengambilan Februari 2027 bagi program Diploma Pendidikan Khas Awal Kanak-Kanak dengan kelayakan minimum termasuklah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan tiga kepujian atau kelayakan setaraf yang diiktiraf.
Program berakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selama dua tahun setengah ini memberi tumpuan khusus kepada intervensi kanak-kanak berkeperluan khas.
Laluan alternatif melalui Kredit Mikro dan APEL turut disediakan bagi pemohon yang tidak memenuhi syarat kemasukan standard.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Pengerusi Lembaga Pengarah MPI, Paul Wong Hee Kwong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengetua Institut Pilley Methodist (MPI) Dr. Lu Huong Ying dan Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming. - EDISI UKAS