Usaha PBT Jaga Kebersihan Tandas Awam Perlu Sokongan Semua Pihak
SERIAN: Usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan tandas awam sentiasa bersih, selesa dan selamat perlu mendapat komitmen menyeluruh daripada pemilik premis, pengusaha perniagaan serta masyarakat agar tahap kebersihan kemudahan itu dapat dikekalkan sepanjang masa, bukan hanya ketika pertandingan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam tidak seharusnya dipikul oleh PBT semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk membudayakan amalan kebersihan secara berterusan.
Menurutnya, penganjuran Pertandingan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) 2026 oleh Majlis Daerah Siburan (SDC) bukan sekadar bertujuan mengiktiraf premis yang mengekalkan tahap kebersihan terbaik, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kemudahan awam.
“Pertandingan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) 2026 anjuran Majlis Daerah Siburan (SDC) membawa mesej lebih besar daripada sekadar merebut kemenangan, iaitu membentuk kesedaran terhadap kebersihan, kesihatan awam dan tanggungjawab menjaga persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan Pertandingan Tandas Awam BMW 2026 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Roland Sagah turut menekankan kepentingan Sesi Randau Ahli Majlis SDC bersama Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) sebagai platform memperkukuh komunikasi serta kerjasama antara PBT dengan masyarakat.
Sementara itu, Pizza Hut Siburan dinobatkan sebagai johan Pertandingan Tandas Awam BMW 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil.
KFC Siburan meraih tempat kedua dengan hadiah RM700, manakala Joyful Hakka Food menduduki tempat ketiga dan menerima RM500 berserta sijil.
Pengerusi SDC, Ranum Bari pula berkata, pertandingan yang berlangsung dari 7 hingga 16 September lalu merupakan antara inisiatif PBT untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan, kesihatan awam dan penyelenggaraan kemudahan tandas.-EDISI UKAS