Sarawak Cadang Taja Penuh 80 Anak Tempatan Ikuti Pengajian Perubatan Di UNIMAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif menangani keperluan tenaga perubatan negeri dengan mencadangkan 80 tempat pengajian perubatan khusus untuk anak Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bakal dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan lebih ramai doktor dan pakar perubatan tempatan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menurut beliau, cadangan berkenaan telah dibincangkan bersama pihak UNIMAS sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang perubatan.
“Semalam kita telah berbincang dengan UNIMAS dan saya meminta supaya mereka menyediakan 80 tempat untuk pelajar Sarawak dalam bidang perubatan dan kesemuanya ditaja oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Yayasan Sarawak Kali Ke-33 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh penyelidikan perubatan, khususnya berkaitan penyakit tropika, bagi meningkatkan keupayaan Sarawak mengenal pasti dan menangani cabaran kesihatan yang dihadapi masyarakat tempatan.
Menurutnya, pembangunan kepakaran perubatan perlu bergerak seiring dengan penyelidikan bagi memastikan Sarawak bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai doktor, malah mempunyai tenaga pakar yang berupaya menjalankan kajian terhadap trend penyakit di negeri ini.
“Kita memerlukan pusat penyelidikan seperti Tropical Disease Research Centre untuk mengkaji trend penyakit ini. Kita juga perlu melahirkan lebih ramai pakar perubatan tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, usaha memperluas peluang pengajian perubatan kepada anak Sarawak dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membangunkan tenaga profesional tempatan, sekali gus memperkukuh keupayaan sektor kesihatan negeri.
Langkah berkenaan juga mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan pendidikan tinggi selari dengan keperluan tenaga kerja dan aspirasi pembangunan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Dato Omar Mahli.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie