Sarawak Peruntuk RM16 Juta Lengkapkan Lebih 1,400 Sekolah Dengan Papan Pintar
KUCHING: Lebih 1,400 sekolah di seluruh Sarawak bakal dilengkapi kemudahan papan pintar menerusi peruntukan RM16 juta yang dirancang Kerajaan Sarawak pada tahun depan bagi memperkasa pembelajaran digital serta merapatkan jurang penggunaan teknologi pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar lebih interaktif, berkesan serta selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan akan disediakan kepada sekolah yang mempunyai capaian internet, sekali gus membolehkan murid di bandar dan luar bandar menikmati manfaat teknologi digital dalam pembelajaran.
“Insya-Allah tahun depan saya beri RM16 juta. Maknanya, guru mesti tahu bagaimana mengendalikan 'smart board', berinteraksi dengan anak murid dan anak murid pun boleh belajar semua subjek yang penting melalui 'smart board,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak Kali Ke-33 di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak turut menegaskan bahawa penguasaan teknologi dalam kalangan guru amat penting bagi memastikan penggunaan papan pintar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kefahaman dan penglibatan murid dalam proses pembelajaran.
“Saya akan beri smart board ini kepada semua sekolah, bandar dan luar bandar, asal ada rangkaian. Asalkan ada rangkaian internet, dan ini akan dapat mengajar anak murid kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan papan pintar amat relevan khususnya bagi mata pelajaran sains kerana teknologi berkenaan berupaya membantu murid memahami konsep pembelajaran yang kompleks, termasuk asas kimia.
Menurutnya, penguasaan ilmu sains dan teknologi perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah bagi menyediakan generasi muda Sarawak menghadapi perubahan landskap ekonomi yang semakin berteraskan inovasi dan teknologi.-EDISI UKAS
Disediakn oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie