Jasa 46 Warga Kerja Feri Wajar Dihargai, Perkhidmatan Diteruskan
DARO: Sumbangan 46 warga kerja feri yang telah berkhidmat sejak 2009 wajar terus dihargai atas komitmen mereka dalam memastikan kelancaran perkhidmatan pengangkutan masyarakat Pulau Bruit.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penghargaan itu turut diberikan kepada para peniaga yang menjalankan perniagaan di kedua-dua pangkalan feri.
Katanya, operasi feri sepanjang tempoh berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan penyeberangan, malah membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan melalui kegiatan perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa kelulusan telah diberikan untuk meneruskan perkhidmatan feri bagi penduduk di kawasan Paloh, Kedang dan Berangan.
“Feri ini masih akan masuk ke kawasan pulau dan penduduk dari Paloh, Kedang serta Berangan boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk menyeberang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Praperasmian Pembukaan Jambatan Batang Paloh di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato‘ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris serta tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Datuk Abdullah berkata, perkhidmatan itu dicadangkan beroperasi dari pangkalan di Kedang menuju ke Kampung Sedi bagi menyesuaikan operasi dengan keperluan perjalanan penduduk.
Langkah tersebut katanya merupakan sebahagian daripada perancangan peralihan sementara menunggu pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan Paloh, Kedang dan Berangan dengan Tanjung Manis.
Menurut beliau, projek pembinaan jalan raya berkenaan dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun lagi untuk dilaksanakan, sekali gus menjadikan perkhidmatan feri sebagai kemudahan pengangkutan yang masih diperlukan sepanjang tempoh tersebut. - EDISI UKAS