Sarawak Teroka Potensi Natrium Sebagai Teknologi Bateri Masa Depan
KUCHING: Sarawak mahu memperluas kajian saintifik terhadap sumber natrium sebagai antara potensi bahan mentah bagi pembangunan teknologi bateri generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sumber yang selama ini dilihat sebagai bahan kegunaan harian, termasuk garam, mempunyai potensi lebih besar sekiranya dikaji dan dibangunkan menerusi pendekatan sains serta teknologi.
“Teknologi bateri kini sedang beralih daripada litium kepada natrium. Bayangkan, nilai garam bukan sekadar untuk kegunaan harian, tetapi menjadi asas kepada teknologi bateri baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Yayasan Sarawak Kali Ke-33 di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, Sarawak mempunyai sumber alam yang luas dan perlu melahirkan lebih ramai anak tempatan yang mampu meneroka serta menghasilkan nilai tambah daripada sumber tersebut.
Katanya, perkara itu menunjukkan kepentingan pendidikan berasaskan sains dan penyelidikan dalam memastikan khazanah negeri tidak hanya dieksploitasi sebagai bahan mentah.
“Sarawak mempunyai sumber garam yang banyak, dan maklumat ini mesti diterokai melalui kajian saintifik mendalam oleh anak tempatan kita,” katanya.
Jelasnya lagi, pendekatan tersebut selari dengan keperluan ekonomi baharu yang semakin bergantung kepada teknologi, inovasi dan keupayaan menghasilkan produk bernilai tinggi.
Katanya, penguasaan ilmu dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu diperkukuh bagi membolehkan anak Sarawak meneroka peluang baharu dalam sektor teknologi dan industri bernilai tinggi.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie