KUCHING: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk melengkapkan persediaan penubuhan fakulti perubatan, termasuk penyediaan tenaga pengajar berkelayakan, kemudahan pembelajaran dan pematuhan piawaian antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tempoh berkenaan penting bagi memastikan fakulti itu memenuhi standard pendidikan perubatan yang ditetapkan sebelum memulakan operasi.
“Kalau kita hendak mula, sekurang-kurangnya dua tahun. Persediaannya melibatkan tenaga pengajar dan juga standard yang mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Yayasan Sarawak Kali Ke-33 di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, penubuhan fakulti perubatan di UTS merupakan sebahagian daripada usaha memperluas peluang pengajian dalam bidang perubatan, sekali gus meningkatkan keupayaan Sarawak melahirkan lebih ramai doktor dan tenaga profesional kesihatan tempatan.
Katanya, pembangunan fakulti berkenaan bukan sahaja memerlukan tenaga akademik berkelayakan, malah perlu disokong kemudahan pengajaran dan latihan klinikal yang berkualiti bagi memastikan graduan memenuhi keperluan sektor kesihatan.
Usaha itu juga dilihat sebagai langkah jangka panjang dalam memperkukuh pembangunan modal insan Sarawak, khususnya dalam bidang perubatan yang menjadi antara keperluan penting negeri.
Penubuhan fakulti berkenaan dijangka dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan perubatan Sarawak serta menyediakan lebih banyak peluang kepada anak tempatan mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie