DARO: Pesta Pulau Bruit yang berlangsung pada 6 hingga 8 November ini mengetengahkan elemen teknologi digital sebagai tarikan baharu, selain mempromosikan hasil laut, pertanian dan kebudayaan tempatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran tahun ini membawa konsep ‘Temasya Lautani’ yang menonjolkan keunikan sumber laut dan pertanian Pulau Bruit.
Menurutnya, pesta berkenaan turut menyediakan platform kepada masyarakat setempat untuk memperkenalkan produk dan hasil perusahaan mereka, termasuk menerusi jualan hasil laut dan pertanian serta pameran kraftangan.
“Pesta Pulau Bruit membawa identiti tersendiri yang berteraskan hasil laut dan pertanian. Kita mahu mengetengahkan keunikan tersebut melalui penyertaan masyarakat serta pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Praperasmian Pembukaan Jambatan Batang Paloh di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kelainan turut ditampilkan menerusi penglibatan Persatuan AI Sarawak (PAIS) yang akan mengadakan sesi taklimat dan bengkel buat pertama kalinya di luar Kuching pada 8 November, bermula jam 2 petang.
Datuk Abdullah berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan digital serta peluang menjana pendapatan melalui platform media sosial.
“Pendedahan ini bukan sekadar mengajar penggunaan media sosial untuk tujuan hiburan, tetapi turut merangkumi bagaimana kandungan yang dihasilkan boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan dan peluang keusahawanan digital,” ujarnya.
Dalam aspek hiburan, beliau berkata, Konsert Rakyat yang berlangsung selama tiga malam turut menampilkan Nash daripada kumpulan Left Handed, Agura Band dari Kuching, Pretty Nina serta beberapa artis tempatan.
Persembahan kumpulan penari Seri Tandi yang turut mengambil bahagian dijangka menambahkan variasi pengisian, sekali gus memberi ruang kepada pengunjung menikmati persembahan seni dan kebudayaan.
Dalam pada itu, pembukaan Jambatan Batang Paloh dijangka memudahkan akses ke Pulau Bruit dan menarik lebih ramai pengunjung dari Sarikei, Bintangor, Sibu serta Mukah untuk menghadiri pesta berkenaan, ujar beliau.
Menurut Datuk Abdullah, penganjuran terdahulu mencatatkan kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung ketika perkhidmatan feri masih digunakan, justeru beliau berharap jumlah tersebut dapat ditingkatkan pada tahun ini.-EDISI UKAS