Jalan Raya Pulau Bruit Jadi Agenda Pembangunan Seterusnya
DARO: Kemudahan empat jambatan utama di sekitar Pulau Bruit menjadi antara asas penting dalam memperkukuh perhubungan kawasan itu, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan infrastruktur seterusnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada penambahbaikan jalan raya bagi melengkapkan kemudahan sedia ada.
Menurutnya, laluan yang menghubungkan Jambatan Batang Paloh dengan Jambatan Batang Lassa memerlukan kerja naik taraf berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.
Beliau berkata, keadaan fizikal beberapa jalan lain di Pulau Bruit juga perlu diberi perhatian, khususnya kawasan yang mengalami mendapan tanah sehingga menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna.
“Jambatan yang dibina perlu disokong oleh rangkaian jalan raya berkualiti supaya kemudahan perhubungan yang disediakan benar-benar memberikan keselesaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Praperasmian Pembukaan Jambatan Batang Paloh di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Datuk Abdullah berkata empat jambatan utama yang berada dalam lingkungan 40 hingga 50 kilometer merangkumi Batang Paloh, Batang Lassa, Batang Igan dan Batang Rajang.
Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Sarawak yang terus menyalurkan pembiayaan negeri bagi pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk pembinaan jambatan utama dan jambatan kecil.
Keseluruhan kos pelaburan bagi pembinaan kemudahan jambatan berkenaan dianggarkan RM7 bilion, mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri memperluas pembangunan infrastruktur di Sarawak.-EDISI UKAS