Anugerah Pendidikan Sarawak Perkukuh Budaya Kecemerlangan
KUCHING: Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Anugerah Khas Premier Sarawak Ke-33 memperkukuh budaya kecemerlangan pendidikan menerusi pengiktirafan terhadap pencapaian guru, pentadbir sekolah dan murid di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pelaburan dalam pendidikan perlu terus diberi keutamaan, selain memperkukuh peranan guru sebagai antara tunjang utama pembangunan pendidikan.
“Sebab itu, saya rasa pelaburan kita dalam pendidikan sangat penting. Begitu juga dengan peranan guru kerana kita perlu bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 dan Majlis Anugerah Khas Yayasan Sarawak Kali Ke-33 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan kepada pendidikan baharu bagi memastikan anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan masa depan.
“Insya-Allah selagi kita ada, Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memberikan penekanan kepada pendidikan baharu untuk anak Sarawak,” katanya.
Katanya, pendidikan juga perlu terus berkembang seiring perubahan semasa bagi melahirkan generasi yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bersesuaian dengan keperluan masa depan.
Dalam pada itu, Anugerah Khas Premier Sarawak anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengiktiraf 12 penerima merangkumi pentadbir sekolah, guru dan murid yang menunjukkan pencapaian cemerlang secara berterusan dalam bidang akademik dan bukan akademik.
Kemuncak majlis menyaksikan Anugerah Tokoh Guru Sarawak 2026 dianugerahkan kepada Kartini Hasbollah atas perkhidmatan cemerlang sebagai guru besar di tiga sekolah rendah serta penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Sarawak 2026 pula dianugerahkan kepada mantan Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad.
Seiring usaha memperkukuh pendigitalan pendidikan, Yayasan Sarawak turut menyerahkan sumbangan Interactive Smartboard secara simbolik kepada Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Omar Mahli, mewakili 30 sekolah di bawah program High Performance Rural School (HIPERS).- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie